Petang tadi aku singgah seketika untuk bertanya khabar kawan aku yang berehat cuti sakit dirumahnya. Dia baru pulih dari rawatan dihospital kerana darah tingginya mencapai tahap kritikal. Dia sebenarnya cukup tertekan dengan kerja-kerjanya seharian. Itulah antara sebab yang mungkin kenapa tekanan darahnya naik secara mendadak.
Dalam sembang-sembang beliau banyak menceritakan keadaan ekonomi semasa, keadaan politik semasa dan tekanan kerja sebagai pegawai pengurusan dan professional. Tapi aku tak berminat sangat dengan keadaan politik semasa. Kadang-kadang sengaja aku cuba mengalih topik supaya fokus tidak kepada politik.
Dalam banyak-banyak bicara, dia merujuk kepada satu artikel yang termuat dalam web agenda daily dalam komputernya. Jadi aku cuba paparkan kembali artikel berkenaan untuk tatapan kawan-kawan yang belum membacanya.Berikut adalah artikel yang ditulis oleh seorang yang menamakan dirinya Azmi Ahmad;
"Akhir-akhir ini pihak kerajaan kerap kali mendapat tekanan daripada pelbagai pihak. Terbaru, tuntutan CUEPACS yang umum ketahui berjuang untuk para kakitangan awam Malaysia. Memang benar, kita mendapati tahap pendapatan kakitangan awam di Malaysia masih rendah. Jelas sekali CUEPACS mengambil pendekatan yang begitu agresif dan hasilnya ialah kenaikan gaji dan beberapa tuntutan lain yang mendapat perhatian serius pihak kerajaan.
Paparan di dada akhbar menggambarkan kejayaan tuntutan dan golongan sokongan merupakan pihak yang paling gembira. Apa pun kegembiraan ini nampaknya sukar untuk dikongsi sepenuhnya oleh golongan pengurusan dan profesional (P&P). Ini bukan bermaksud kumpulan P&P tidak bersetuju dengan habuan yang diterima oleh kumpulan sokongan. Itu rezeki namanya... namun ia melihat trend kini adalah seolah-olah menidakkan kumpulan mereka. Sedar atau tidak, mereka merasakan bahawa usaha mencari pendidikan hingga ke peringkat tinggi sudah tidak bermakna lagi.
Usaha keras pihak CUEPACS untuk merapatkan jurang pendapatan kakitangan awam memang berjaya. Pendapatan kumpulan sokongan melambung tinggi menyamai pendapatan kumpulan profesional. lebih ketara di kalangan guru sekolah yang rata-rata terkejut kerana mendapati gaji mereka telah dilangkaui oleh kumpulan sokongan. Ada pula yang senyum sinis sambil berkata.." Belajar tinggi-tinggi pun gaji sama je... baik tak payah sambung belajar sampai IPT"...
Ada pun isu yang lebih besar adalah kenaikan harga barangan yang amat memeritkan. Para kakitangan kumpulan P&P yang pada tanggapan CUEPACS dah selesa kerana nama "KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL", mulai merasa keperitan hidup yang menghimpit. Sembang-sembang dengan rakan-rakan sekerja sering menjurus kepada soal sewa rumah, minyak dan pelbagai lagi. Namun kerana 'title' kumpulan P&P, mereka mencari ruang lain untuk menampung perbelanjaan. Dah terpaksa... Agaknya inilah antara punca berlaku rasuah...Sesungguhnya harapan kepada CUEPACS dah hampir punah. Ini kerana tuntutan demi tuntutan lebih kepada golongan sasar mereka yang dianggap amat daif sehingga amat perlu ditolong terus menerus oleh kerajaan.
Apabila tiba PRU12, siapa agaknya kumpulan yang telah banyak bermain isu secara sistematik kalau bukan kumpulan P&P. Kerajaan panik menghadapi hal ini. Ramai memberi gambaran bahawa suasana masih tidak menentu. CUEPACS tampil lagi dengan kesinambungan tuntutan selepas PRU dalam keadaan kerajaan yang agak goyah. Ugutan untuk boikot Hari Pekerja dan sebagainya. Akhirnya kerajaan setuju jua dengan desakan CUEPACS. Sekali lagi kumpulan sokongan mendapat imbalan yang menggembirakan kerana kenaikan elaun sewa rumah menyamai kumpulan P&P. Demikianlah senario CUEPACS yang amat prihatin kepada hanya kumpulan tertentu. Dia dah jadi jaguh.
Dalam diam sudah ada pihak mula merajuk. Sebelum terlewat rasanya pihak CUEPACS mahu pun kerajaan harus memikirkan hal ini secara lebih mendalam. Rasional manusia memang mudah iaitu dapatkan sesuatu kerana kelayakan yang sesuai. Kriteria untuk layak memasuki kumpulan P&P adalah jelas. Kenapakah kumpulan ini tidak mendapat pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya sebagaimana suatu ketika dahulu bila mana ada perlumbaan untuk menjelmakan ramai P&P. Dalam hal ini kesamaan yang diperjuangkan dari segi pendapatan oleh CUEPACS sedikit sebanyak menimbulkan keresahan pihak lain. Apabila ketara tiada perbezaan antara kumpulan P&P dan Sokongan, lebih baiklah gunakan nama lain yang lebih sesuai."
(Tengok gambar ni, macam seorang tukang sapu (berpakaian selekeh) sedang menerima penyapu dari bosnya (pakai kot)...Subhanallah..Kerja Allah Taala..)
Membaca artikel diatas,aku tak ada nak komen apa-apa,cuma aku mampu berkata " sedar-sedar lah wahai pegawai kumpulan pengurusan dan professional, kumpulan kamu tidak di utamakan oleh kerajaan, sekadar layak dianugerahkan penyapu oleh khir toyo". Mungkin kamu semua alpa tentang tanggungjawab kamu. Jangan hanya tahu keluar arahan, sign surat dan hadir majlis dan mesyuarat sahaja, tengok-tengok kan sekali dasar, arah tuju serta tunjukan kepimpinan yang baik, biar orang bawahan kamu faham apa sebenarnya yang kamu sedang lakukan. Tunjukkan bahawa kamu sebenarnya tahu dan faham apa yang sepatutnya dilakukan.....kau orang fikir-fikirkan lah sendiri....
"
No comments:
Post a Comment