Wednesday, April 30, 2008

Harga Beras



KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Harga beras super tempatan 15 peratus hancur yang dikawal kerajaan kekal dan tidak boleh dinaikkan dengan sesuka hati oleh peniaga, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad.

Beliau berkata berbanding beras gred lain yang diimport dan tidak dikawal, beras gred itu tidak boleh dijual melebihi RM17.50 bagi 10kg beras dan mana-mana peniaga yang mengingkarinya akan dikenakan tindakan.

"Kalau beras 15 peratus hancur naik harga, itu boleh lapor kepada kementerian saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen mengulas kenaikan harga beras ekoran kenaikan harga komoditi itu di pasaran dunia sejak akhir-akhir ini.

Beras gred super tempatan 15 peratus hancur dikawal antara RM1.65 sekilo dan RM1.75 sekilo, mengikut kawasan, digunakan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Shahrir berkata kenaikan harga beras import yang tidak dikawal sememangnya dijangka ekoran kenaikan harga beras dunia selepas berlakunya krisis bekalan komoditi itu negara-negara pengimport, sepertimana harga beras Siam (Thailand) yang meningkat sehingga RM32 bagi 10kg beras.

Beliau berkata kerajaan telah meminta Bernas mengimport lebih banyak beras bagi memastikan bekalan komoditi itu mencukupi bagi keperluan pengguna selain untuk simpanan Stok Penimbal Kebangsaan.

Shahrir berkata melalui Dasar Jaminan Makanan, kerajaan juga akan memastikan bekalan komoditi itu cukup dan harganya berpatutan selain memastikan sistem pengedarannya sampai kepada golongan sasaran.

Katanya stok penimbal beras telah disiapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan langkah-langkah pelaksanaan stok itu akan diumumkan menteri terbabit selepas mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Ditanya apakah nasihatnya kepada pengguna, Shahrir yang juga Anggota Parlimen Joor Baharu berkata masyarakat perlu mengubah gaya pemakanan daripada menggunakan beras mahal yang dimport kepada beras yang lebih murah.

Komen aku:

Kelmarin aku beli beras super tempatan yang dtulis pada pembungkusnya 10% hancur dengan harga RM 24.00 bagi 10 kg. Tapi aku rasa-rasalah kandungan sebenar hancur lebih 20%. Aku nak tanya lah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hel Ehwal Pengguna (KPDNHEP), adakah pemeriksaan berkala dibuat keatas syarikat-syarikat pembungkus/pemborong-pemborong beras bagi memastikan sistem penggredan dilakukan dengan betul?

(gambar diatas hanya hiasan semata-mata, tidak kena mengena dengan gred beras yang aku beli)

No comments: