Saturday, April 26, 2008
Subsidi Diesel
Dalam Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Perdana Menteri membayangkan bahawa subsisi diesel akan dihapuskan tidak lama lagi.Ini bermakna stesen-stesen jualan diesel akan menjual dengan harga tanpa subsidi bagi mengelakkan disalahguna. Sebaliknya kerajaan akan membayar secara tunai subsidi kepada golongan-golongan sasar seperti nelayan dan kumpulan-kumpulan yang sewaktu dengannya.
Sebelum ini kita banyak membaca berita-berita dalam media-media popular tempatan bagaimana diesel subsidi telah diseludup ke negara jiran, disalahgunakan dan macam-macam berita yang seumpama dengannya.Untuk menyenangkan kita memahaminya, aktiviti menyalahgunakan diesel subsidi ini adalah aktiviti menjual oleh penerima subsidi kepada pihak-pihak yang lain untuk mendapat keuntungan segera.
Pada aku, sekiranya kerajaan membayar secara tunai subsidi diesel ini kepada nelayan bermakna kerajaan memberi ruang yang paling senang bagi sekumpulan mereka mendapat untung segera kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah mengangkut, menyimpan, menyorok, mencari peluang untuk menjual diesel untuk mendapat wang tunai kerana kerajaan telah pun memberi wang tunai sebagai subsidi.
Jadi untuk mengelakkan subsidi daripada terus disalahgunakan,Kerajaan hendaklah memikirkan kaedah terbaik bagaimana bayaran secara tunai boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada "penipuan" sekumpulan nelayan lintah darat ini. Wujudkan mekanisma yang paling berkesan untuk membantu golongan sasar ini.
Bagi golongan sasar nelayan aku fikir, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia boleh melaksanakan bayaran subsidi diesel melalui sistem pemasaran ikan. Terlebih dahulu LKIM kenalah memperkenalkan sistem pemasaran ikan yang efektif seperti yang dilaksanakan dinegara-negara maju sepeti Jepun, Australia, dan lain-lain lagi. Sistem yang mungkin adalah jualan secara "Auction" atau jualan secara lelong. Lagi pun fungsi utama LKIM adalah mewujudkan sistem pemasaran yang cekap dan berkesan, tetapi sehingga kini sistem sebegitu tak wujud-wujud dalam industri. Rasanya sudah sampai masanya LKIM mengubah fokus perlaksanaan dasar-dasar sedia ada yang dipertanggungjawab keatasnya kearah yang lebih objektif.
Dalam hal ini mana-mana nelayan yang menjual tangkapan mereka melalui sistem ini layak diberi subsidi diesel berdasarkan jumlah tangkapan ikan mereka. Cara bayaran adalah melalui tambahan kepada bayaran hasil jualan ikan mereka.
Banyak faedah yang diperolehi oleh nelayan dan industri jika sistem ini boleh dilaksanakan. Nelayan akan mendapat pulangan yang baik, negara akan mendapat bekalan ikan yang mencukupi dan industri mampu berkembang kearah mencapai DPN3.
Tak payah aku nak komen dan ulas banyak-banyak, kau orang fikirlah sendiri. Sekarang ini siapa yang mendapat "munafaat" yang lebih dari subsidi diesel ini? Siapa sebenarnya "nelayan" disisi Kerajaan? Adakah pemilik lesen vesel yang menyewakan lesennya kepada pengusaha Thailand itu nelayan? atau pemilik sampan yang tidak berlesen (lesen dibekukan) yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram itu nelayan? Atau pemandu teksi yang mendapat subsidi sampan dan enjin dibawah SPKR itu nelayan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment