Friday, May 9, 2008

Bahagiakah menjadi perogol dan pembunuh?


Sumber:http://mysyahadah.blogspot.com/

Mungkin tajuk di atas agak klise, atau menggelikan, mungkin agak kejam, atau agak berat dan pelbagai ‘mungkin’ lagi. Namun, mungkin-mungkin ini tidaklah sepasti kepastian bahawa derita dan seksanya jiwa-jiwa yang dicabuli dan dirogol, apatah lagi dibunuh!!

Saya jadi sangat risau memikirkan kedaan dunia sekarang. Cukup risau jika berlaku di dunia barat, bimbang ia menular mampir ke sebelah rumah. Malah, nyatanya yang sangat mendukacitakan saya bahawa ia sememangnya sudah merebak masuk ke pagar Malaysia, dan nyatanya ia sudah lama. Malahan sekarang ini semakin bengkak, bernanah dan hampir meletup. Saya kembali pada persoalan saya di atas, BAHAGIAKAH MENJADI PEROGOL DAN PEMBUNUH??

Justeru, sebagai fakta kes, saya huraikan serba sedikit di sini tentang peristiwa-peristiwa dan kronologi yang sangat sadis dan menyayat hati :

Dari 1984 hingga 2006 Feb, terdapat 87 kes rogol –bunuh, Dari jumlah 87 kes yang kejam ini, hanya 23 kes, atau pun 26.4% di selesai dengan pesalah dijatuh hukuman.

Nyatanya sekarang ini ia makin parah! Seolah-olah kita melihat, ia merupakan isu bulanan, ibaratnya seorang korban bulanan. Apa makna pada semua ini?? Contoh terdekat, baru sekejap Malaysia masih meratapi pemergian Nurin Jazlin, kehilangan Sharlinie Nashar yang masih tidak tahu beritanya, dan terbaru kes sadis Nurul Amira.

SIAPA SEBELUM NURIN JAZLIN??

Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan, 17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya.

Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun telah ditemui di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6 tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh.

Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali.

Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001.

Norshakila Ramli Choo, 6 tahun telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002.

Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan

Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

Noritta Samsudin berumur 22 tahun telah dijumpai mati di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh.

Pada 13 Jun 2003 Canny Ong Lay Kian telah dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004.

Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung.

Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah dibunuh pada 23 November 2004.

Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004.

Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Tentulah. Kita menyatakan, "Ohh..budak ni..masa ni aku form 5.. Oh, budak ni, masa tu takut sangat, sedih sangat.." dan pelbagai lagi.. Bila membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa.

Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya kes-kes seumpama ini. Ini mungkin hanya sebilangan kecil, dirogol kemudian dibunuh. BERAPA RAMAI LAGI DI LUAR SANA YANG MENJADI MANGSA ROGOL DAN MENYIMPAN TRAUMA SEUMUR HAYATNYA?? Yang disembunyikan oleh umum dan media umpamanya. Ketika ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin, ironinya terus-terusan berlaku kes-kes yang seumpama dengannya. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?

SYAHADATUL HAFIZAH BINTI ABDULLAH
KETUA UNIT MEDIA DAN PENYELIDIKAN (UMP)
HAL EHWAL WANITA & MAHASISWI (HEWI)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
SESI 08/09

No comments: