Saturday, May 10, 2008
Police Polisi Polis...
BMC: Ahli parlimen Segambut dibelasah
Andrew Ong | May 9, 08 12:58pm
(Malaysiakini.com)
Polis menggunakan meriam air serta menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan kira-kira 500 penduduk di Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi.
Dalam kejadian itu, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng dan pengerusi jawatankuasa buka jalan BMC didakwa dipukul oleh anggota polis berpakaian biasa.
Ianya berlaku sejurus selepas Lim tiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 10 malam untuk memberi sokongan kepada penduduk yang berkumpul di persimpangan Bandar Tun Hussien Onn dengan Lebuhraya Kajang-Cheras
Syarikat konsesi Grand Saga Sdn Bhd sedang membina benteng penghadang - untuk kali ketiga - bagi menyekat jalan pintas di situ digunakan penduduk bagi mengelak bayaran tol.
Ekoran itu, penduduk kini terpaksa memandu sejauh enam kilometer lagi dan membayar tol 90 sen kepada Grand Saga.
Ketika Lim tiba di situ, polis sedang memantau penduduk yang berhimpun mengelilingi pekerja Grand Saga yang sedang bekerja memasang tembok konkrit.
Lim kemudian berjalan ke arah pekerja Grand Saga dan anggota polis di situ untuk bertanya siapa yang menyelia kerja-kerja membina tembok tersebut.
Selepas gagal mendapat sebarang jawapan, Lim mencabut wayar dari mesin yang digunakan oleh pekerja untuk mengimpal batang besi pada tembok konkrit itu (kiri).
'Saya disembur, dipukul'
Tanpa mesin kimpan itu, pekerja Grand Saga beredar, menyebabkan penduduk berasak-asak melepas kawalan polis dan bertindak memusnahkan tembok yang separuh siap itu dengan tangan.
Penduduk yang gembira melihat apa yang berlaku, terus mengangkat dan melambung Lim beberapa kali tetapi suasana kembali tegang apabila polis pencegah rusuhan mengarahkan orang ramai supaya beredar.
Lim cuba menghalang sebuah trak meriam air dengan berdiri di depannya. Menurut Lim (foto kiri), beberapa anggota polis mengheretnya dan berlaku kekecohan.
"Mereka mengheret saya ke tepi dan menyembur pemedih mata ke muka saya. Saya tidak dapat melihat. Mereka tumbuk dan tendang saya," katanya kepada pemberita kira-kira dua jam selepas kejadian tersebut berlaku.
Ahl exco kerajaan negeri, Ean Yong Hian Wah yang berada di tempat kejadian, memberitahu pemberita bahawa polis berhenti memukul Lim selepas diberitahu bahawa Lim adalah seorang ahli parlimen.
Dipukul depan pemberita
Lim, seorang peguam, memang dikenali penduduk di situ kerana beliau pernah menjadi penasihat undang-undang kepada jawatankuasa buka jalan BMC.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan - apabila melihat Lim dipukul - terus bergegas untuk membantunya.
Ekoran itu, Tan juga didakwa turut dibelasah dan kemudiannya ditangkap. Para saksi mendakwa, beliau dipukul di perut oleh seorang anggota polis berpakaian biasa di hadapan para pemberita dan jurugambar.
Tan kemudiannya dibawa dari situ dengan kereta polis manakala seorang penduduk membawa Lim dan Ean ke sebuah klinik berhampiran. Tan dibebaskan dengan ikatjamin pada jam 3 pagi.
Ketika itu, polis telah menembak meriam air, tetapi apabila tindakan itu masih gagal menyuraikan orang ramai, mereka melepaskan tiga kali tembakan gas pemedih mata. Orang ramai akhirnya bersurai.
Ketika ditemui pemberita malam tadi, timbalan ketua polis Kjang, Supt Toha Abdullah mendakwa beliau tidak tahu mengenai tindakan polis memukul Lim.
Katanya, pihak polis terpaksa bertindak menyuraikan orang ramai kerana mereka "menggangu tugas keselamatan pihak polis”.
Sebelum ini, dua penduduk BMC telah ditahan. Ketika dihubungi tengah malam tadi, ketua polis Kajang, Shakaruddin Che Mood berkata pihak polis belum memutuskan tuduhan terhadap mereka yang ditahan itu.
Lim masuk hospital
Sementara itu, ahli parlimen Segambut itu dimasukkan ke Hospital Selayang pada jam 3 petang tadi ekoran kejadian semalam.
Menurut ahli dewan undangan negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, Lim mengadu rasa pening dan sukar membuka matanya.
"Keluarganya menghantarnya ke hospital untuk dipantau keadaannya. Kita tidak tahu apa yang tidak kena dengannya," kata Lau.
Sementara itu, Tan memberitahu Malaysiakini bahawa Lim sepatutnya pergi bersama penduduk menyerahkan memorandum kepada menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Tetapi beliau tidak dapat datang. Beliau kata seluruh badannya sakit-sakit," kata Tan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment